RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif.blogspot.com

Isnin, 1 September 2014

Bukit Panau: Xpdc Kedua 30.8.2014


EKSPEDISI BUKIT PANAU KEDUA
30.8.2014


TANAH MERAH, KELANTAN: Bukit Panau yang terletak di Tanah Merah, Kelantan memang tersohor sejak dulu, bukan sekadar sebuah bukit, namun Bukit Panau juga mempunyai dua buah gua yang terselindung di sebalik rimbunan pokok dan akar-akar kayu yang berjuntai di dahannya serta dinding bukit itu. Walaupun pada masa dulu tumbuh-tumbuhan yang tumbuh subur mengelilingi Bukit Panau ibarat pengawal yang setia tidak sebagaimana hari ini yang semakin subur apatah lagi dilindungi pula semak-samun sehingga menenggelamkan rupa paras bukit itu yang sebenar.

Dalam masa yang sama, pada masa dulu penduduk-penduduk kampung yang terdiri daripada warga emas memang sedia maklum tentang cerita Bukit Panau itu dari satu generasi kepada satu generasi dan dari mulut ke mulut, Bukit Panau bukan sahaja telah dijadikan sebuah tempat golongan pertapaan yang mendalami ilmu kebatinan dan kerohanian, namun generasi hari ini tidak pernah mengambil kisah peranan Bukit Panau kepada manusia khususnya dalam konteks dakwah bahawa Bukit Panau itu dalam tahun 1349 Masihi dulu pernah dan telah dijadikan sebagai kawasan perkampungan terawal dan pertemuan Wali Songo malah sebuah gua yang terselindung di sebalik pandangan umum itu pernah dijadikan gelanggang persilatan.

Pahlawan besar yang pernah bertapa dan menuntut ilmu kebatinan, kerohanian dan ilmu persilatan sebagaimana yang tercatat dalam lipatan sejarah ialah dikenali“Hang Tuah”. Hang Tuah pernah menuntut ilmu persilatan yang meliputi bidang kebatinan dalam gua Bukit Panau itu dari salah seorang ahlul bait yang juga dari keluarga Rasulullah S.A.W  bernama Syed Thananuddin atau masyarakat di situ menggelarkannya sebagai Syeikh Saman atau catatan dalam sejarah dikenali sebagai Adi Putra.

Bahkan Sayed Thananuddin yang merupakan guru Hang Tuah itu adalah adik kepada Syed Hussein Jamadil Kubra yang merupakan Ketua Wali 7 (Tanah Melayu) dan juga Datuk Wali Songo (Indonesia/Jawa). Hakikatnya, Bukit Panau telah dijadikan perkampungan Wali Songo untuk memulakan dakwah ke Tanah Jawa. Dikatakan, asal usul nama negeri “Kelantan” berasal dari tempat itu apabila kumpulan Wali Songo yang diketuai Sunan Bonang datang ke Bukit Panau itu dan apabila kedua-duanya bersalam terbitlah “kilatan” dari arah gua di bukit itu sebanyak tiga kali. Dari istilah kilatan mewujudkan nama Kelantan dikekalkan sehingga hari ini. Pancaran kilat itu boleh disaksikan di kawasan taman rekreasi tempat Puteri Sa’adong dan Cik Siti Wan Kembang bersemayam di Pangkal Kalong (Ketereh) dan di Kampung Pengkalan Kiat (Machang). Bahkan Bukit Panau amat jelas apabila berada di Kampung Pengkalan Kiat ini kerana Bukit Panau itu dipisahkan oleh Sungai Kelantan sejauh kira-kira 400 meter. Sejarah berkenaan luput ditelan zaman disebabkan sikap iri hati pihak British yang memadamkan sejarah tempat itu supaya tidak diketahui oleh generasi yang akan datang.

Berikutan wujudnya sejarah besar yang tenggelam ditelan masa menyebabkan Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh bersama tiga peserta ekspedisi lain yang terdiri daripada Anis Sabirin bin Azmi (anak keempat Penulis), Mohd. Nasiruddin Mohd. Nor (Din) serta E.Mohd Khairol Azaha bin E.Kamaruzaman (Yo) telah melakukan Ekspedisi Bukit Panau Kedua pada 30.8.2014.

Tujuan peserta kami melakukan ekspedisi berkenaan adalah untuk melihat dengan mata sendiri dan mengesahkan tentang sebuah makam, adakah Makam Ketua Wali 7 dan Datuk Wali Songo, Sayed Hussein Jamadil Kubra atau adiknya yang merupakan guru silat Hang Tuah yang dikenali Sayed Thananuddin atau Adi Putra yang terletak di puncak Bukit Panau. Bahkan peserta kami juga berhasrat menjejak sebuah gua yang pernah dijadikan gelanggang persilatan dan tempat pertapaan Sayed Thananuddin itu.

Peserta ekspedisi kami bertolak dari Kota Bharu jam 11.30 pagi dan tiba di Bukit Panau kira-kira jam 1.05 petang. Setelah segalanya selesai, kami memulakan pendakian kira-kira jam 2.15 petang. Dalam ekspedisi kedua ini kami tidak melalui trek syarikat telekomunikasi dan komunikasi sebagaimana ekspedisi pertama pada 28.7.2007 dulu. Tetapi kami merentas melalui lereng bukit, lopak, caruh air dan akar-akar serta pokok-pokok kayu. Pendakian seumnpama ini adalah laluan sendiri yang tidak memenatkan kerana peserta kami dapat bergantung harap kepada pokok-pokok dan akar belalai yang tumbuh berjuntai di lereng dan tebing Bukit Panau itu.

Dalam masa mendaki, peserta kami banyak menemui beberapa jenis kayu-kayu aneh, tumbuh-tumbuhan (meliputi pokok, buah dan bunga) yang agak pelik di kawasan hutan di bukit itu. Bahkan peserta ekspedisi juga melihat beberapa tapak haiwan liar yang masih baru dan lama seperti tapak harimau, kambing hutan, babi dan mungkin juga beruang.

Setelah berhempas pulas mendaki, kami akhirnya tiba di puncak Bukit Panau dalam suasana terik mentari dan hembusan bayu yang menyegarkan. Kami memulakan pencarian setelah sebuah makam terbabit ditemui di puncak Bukit Panau itu. Pencarian terakhir ini melibatkan sebuah gua. Setelah menuruni lereng bukit dari puncak bukit itu peserta kami akhirnya menemui gua yang dimaksudkan yang dianggap terlalu dalam dan curam. Kami tidak dapat merakam foto gua tersebut disebabkan keadaan bentuk geografinya terlalu menurun dan agak curam.

Setelah dirasakan berpuas hati kerana cita-cita tercapai, kira-kira jam 6.30 petang kami bertolak pulang dengan menuruni trek syarikat telekomunikasi dan komunikasi yang dalam beberapa detik, kami disapa turunan hujan yang agak lebat. Kami berempat bermandikan hujan sehinggalah apabila tiba di daratan kaki Bukit Panau, hujan tiba-tiba berhenti.

Setelah mengeringkan baju dan pakaian yang basah kuyup, kami bertolak pulang dan peserta kami akan meneruskan Ekspedisi Bukit Panau Ketiga pula dalam masa terdekat yang antara lain ialah untuk memasuki dan merakam foto gua tempat pertemuan Wali Songo dengan Sayed Hussein Jamadil Kubra yang juga tempat guru Hang Tuah bertapa di situ dikenali Sayed Thananuddin atau Syeikh Saman atau Adi Putra beruzlah dalam gua Bukit Panau itu. 

 Peserta Ekspedisi Bukit Panau Kedua (30.8.2014): Azmi Mohd. Salleh, Anis Sabirin bin Azmi, Mohd. Nasiruddin Mohd. Nor (Din) dan E.Mohd Khairol Azaha bin E.Kamaruzaman (Yo).

 Wajah Bukit Panau terkini, dari arah dekat. 

Bersiap sedia sebelum memulakan pendakian.

Peserta ekspedisi sedang mencari arah dan laluan sesuai untuk memulakan pendakian.



Peserta ekspedisi berehat sambil bergambar.


Meneruskan pendakian.



Mungkinkah makam ini milik Sayed Hussein Jamadil Kubra atau Sayed Thananuddin di puncak Bukit Panau?




Antara buah dan pokok-pokok aneh ditemui semasa pendakian.

Teks dan Foto:
 AZMI MOHD. SALLEH

Sabtu, 30 Ogos 2014

Industri Kerusi Batu


INDUSTRI KERUSI BATU


TUMPAT, KELANTAN:  Kerusi batu adalah industri yang juga salah satu produk kreatif yang melibatkan penggunaan tangan dan idea mantap yang juga salah satu cabang kesenian dalam rekacipta hiasan. Bersesuaian pula dengan produk berkenaan akan kelihatan cantik dengan pelbagai konsep dan struktur warna yang diadunkan berdasarkan kekreatifan penggemar dan pembuatnya.

Lazimnya, kerusi batu akan kelihatan cantik bukan sahaja setelah direkabantuk sedemikian rupa, namun kelihatannya akan menyerlah apabila diwarnakan dengan cat yang sesuai. Bertambah indah dan menarik lagi apabila diletakkan di dalam rumah sebagai meja makan dan meja tetamu. Manakala di luar rumah pula, kerusi batu akan kelihatan menyerlah dengan warna terang apabila diletakkan di laman rumah. Bukan itu saja, kerusi batu ini turut dijadikan hiasan sebagai suatu kemudahan yang disediakan kepada pengunjung terutamanya di kawasan perkelahan dan taman rekreasi.

Seorang pembuat kerusi batu yang ditemui Wartawan RELATIF,  Sulaiman bin Shamsuddin atau lebih dikenali sebagai Lik dari Kampung Pantai Geting, Tumpat, Kelantan berkata industri kerusi batu berkenaan adalah milik majikannya yang dikenali sebagai Mahesan dan industri berkenaan bermula pada tahun 2012 yang lalu.

“Walaupun produk kerusi batu ini agak tersohor, namun tidak akan lengkap jika tidak bersama dengan meja makan. Begitulah lazimnya, kerusi batu akan dihiaskan bersama dengan meja makan.

“Setelah berjaya menghasilkan kerusi berkenaan, kerusi yang telah siap dibentuk itu kemudiannya akan didedahkan kepada udara dan kepanasan untuk dicat pula”, ujarnya.

Apabila ditanya tentang sambutan pembeli berdasarkan usia premisnya yang baru dua tahun itu, beliau menjelaskan, dari konteks sambutan pembeli kerusi batu yang dihasilkan di premisnya itu amat memberangsangkan walaupun pada awal diperkenalkan agak lembab kerana mungkin peminat-peminatnya belum mengetahui industri berkenaan wujud di Kampung Pantai Geting itu.

“Walaupun pada masa premis ini baru diwujudkan pada tahun 2012 lalu dan pada awal operasi jualannya agak lembab, namun pembeli sentiasa ada datang untuk melihat dan menempah berdasarkan kehendak mereka”, katanya.

Katanya, kerusi batu yang dihasilkan di premisnya itu diekspot ke luar Kelantan seperti Johor, Selangor, Kuala Lumpur, Kedah dan Perak. Menurutnya, terpaksa kerusi batu diekspot ke luar Kelantan kerana keperluan kepada produk berkenaan agak memberangsangkan di sana berbanding di Kelantan sendiri. Mungkin di Kelantan ini katanya, masyarakat di sini belum mengetahui keperluan terhadapnya dan tidak begitu berminat untuk membelinya berbanding dengan masyarakat di luar Kelantan.

Ditanya tentang pembeli luar Kelantan yang mengetahui premisnya itu dari sumber di mana berbanding dengan penduduk tempatan, beliau menjelaskan, ketika membawa kerusi batu yang ditempah oleh penduduk di sana, ketika itulah pihaknya menjaja dari mulut ke mulut. Paling menarik sekali, penduduk di luar Kelantan ini suka kepada rekabantuk yang dihasilkan dan pada ketika itulah beliau terpaksa membuatnya dengan segera sebagai mengambil hati pelanggan-pelanggan yang telah menempahnya atas dasar kepercayaan yang ditunjukkan oleh pembeli-pembeli berkenaan.

“Dari konteks harganya pula, kebanyakan kerusi batu di Kelantan dijual dengan harga RM100 (berketinggian 150 meter) dan beratnya pula mencecah 25 kilogram. Begitulah lazimnya dijual kepada pembeli-pembeli di sana”, katanya.

Dalam konteks pengiklanan sebagai salah satu kemudahan yang disediakan di media, setakat industri kerusi batu di premisnya itu belum menyasarkan di mana-mana syarikat pengiklanan walaupun banyaknya media sama ada media cetak seperti akhbar, media elektronik (tv) ataupun internet. Katanya, buat masa ini pihaknya belum bersedia ke arah itu.

Justeru, beliau berharap industri kerusi batu berkenaan dapat bertahan kukuh atas dasar kepercayaan yang ditunjukkan oleh pembeli dan peminat-peminat kerusi batu. Keutamaan beliau dalam menghasilkan produk berkenaan adalah mutunya dan kepuasan pelanggan yang pernah menempahnya bukan sahaja kepada pelanggan sedia ada tetapi juga kepada pelanggan-pelanggan baru.

Beliau boleh dihubungi melalui talian:
019-9516332

Sulaiman bin Shamsuddin atau Lik.

Sulaiman Shamsuddin ketika ditemubual Wartawan RELATIF.





Beberapa pekerja sedang sibuk menyiapkan kerusi batu.

Kerusi batu yang telah siap untuk dicatkan.

Di antara bahan-bahan yang digunakan ialah simen dan pasir.

Kedua-dua bahan itu kemudiannya diadunkan bersama.

Inilah acuan untuk membuat kerusi batu.

Teks:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Rabu, 20 Ogos 2014

Seni Produk Rotan


SENI PRODUK ROTAN

WAKAF BAHARU, KELANTAN:  PRODUK kraftangan dari rotan di Kelantan sebenarnya masih mendapat tempat di hati peminatnya sendiri walaupun dewasa ini usaha ke arah itu tidak sebagaimana dulu. Mungkin berpunca daripada saingan dengan beberapa produk kraf dari bahan-bahan lain yang dikatakan lebih murah menyebabkan bahan-bahan dari kraf rotan seolah-olah bergerak perlahan. Ditambah pula sikap kerajaan negeri sendiri yang langsung tidak mengambil inisiatif supaya produk dari bahan-bahan berkenaan dieksploitasikan untuk dimajukan supaya terus mendapat tempat, sebagai punca kraftangan rotan berkeadaan sedemikian.

Cuma kita sekadar boleh mengucapkan tahniah kerana ada individu yang bukan sahaja berminat dengannya, tetapi atas dasar untuk mengelakkan produk kraf rotan kurang diberi tumpuan yang akan menyebabkannya terus berkubur adalah tepat pada masanya, sebarang usaha ke arah itu perlu diberikan perhatian.

Sesuailah hasrat dan tekad yang cuba direalisasikan oleh Pengusaha MSB Enterprise, Mohd. Samsuddin bin Ali, 54, atau lebih dikenali sebagai Abang Din dari Kota Kubang Labu, Wakaf Baharu, Kelantan bangkit dengan cita-cita dan semangatnya kerana menganggap produk kraf dari rotan ini ada potensi untuk terus maju serta mendapat tempat di hati orang ramai. Beliau yang mengusahakan produk berkenaan di atas tanah miliknya sendiri bermodalkan RM2,000 hingga RM3,000 dari wang poketnya sendiri akhirnya berjaya sehingga ke tahap sekarang selain berjaya membeli beberapa mesin dan peralatan menghasilkan produk kraf tersebut.

Menurutnya, sebelum merealisasikan cita-citanya dalam industri seumpama itu, beliau mengikuti latihan serta bimbingan dari kerajaan pusat di bawah Kementerian Belia dan Sukan yang turut menganjurkan beberapa kursus kepada golongan belia yang berminat. Beliau yang diberikan kesempatan oleh pihak kementerian terbabit disambut dengan tangan terbuka sehinggalah pada tahun 1983 di atas minatnya beliau berjaya menghadirkan diri mengikuti kursus kemahiran di Indonesia pula selama enam bulan.

Setelah pulang daripada latihan dan kursus kemahiran itulah, pada tahun 1984 beliau menubuhkan kedai kraf rotan sekarang dengan dibantu oleh enam pekerja sepenuh masa kerana beranggapan seni kraf kraftangan rotan tentunya boleh diperkembangkan bahkan kalau membicarakan soal seni, produk dari rotan ini lebih menarik berbanding produk kraf dari bahan-bahan lain apatah lagi berpotensi di pasaran kalau kena dengan caranya. Sebab itulah beliau tidak gentar dengan cabaran di pasaran kerana produk kraf yang dihasilkannya memang menarik malah kalau pelanggan yang melihatnya tentunya akan tertarik kerana buatannya agak halus malahan kaya dengan seni.

"Sambutan pelanggan terhadap produk kraf di kedai Abang Din setakat hari ini, alhamdulillah agak menggalakkan. Cuma masalah yang dihadapi Abang Din adalah soal pekerja yang tidak mencukupi.

"Akibat pekerja tidak cukup menyebabkan barangan yang dihasilkan tidak dapat disiapkan pada masanya. Ini kerana, produk rotan ini perlu disiapkan oleh seorang pekerja sebanyak satu set dalam tempoh satu bulan.

"Masalah ini berlaku kerana masa yang diperuntukkan kepada beberapa ekspo dan pameran kraf, jadi produk itu sepatutnya sudah disiapkan, namun disebabkan hal ini ia menjadi tertangguh", katanya ketika ditemui Wartawan RELATIF di kedainya itu.

Katanya, selain tempahan diterima daripada pelanggan tempatan, beliau juga menerima tempahan daripada pelanggan luar Kelantan seperti dari Terengganu, Perak dan Kuala Lumpur. Misalnya kebanyakan pelanggan dari Terengganu selalunya yang menempah terdiri daripada pengusaha pusat-pusat peranginan.

Tambahnya, sambutan terhadap produk ini bukan sahaja terdiri daripada pelanggan biasa, namun kebanyakannya terdiri daripada pemborong. Jika pemborong yang menempah, beliau mengenakan kadar diskaun di antara 20 hingga 30 peratus daripada harga biasa. Bahkan kebanyakan pemborong tersebut bukan sahaja terdiri daripada masyarakat tempatan, tidak kurang juga dari luar Kelantan hasil daripada ekspo yang pernah diikutinya.

Katanya lagi, cara barangan ini dijual menurut kehendak pelanggan. Terdapat pelanggan yang datang membeli sendiri di kedai dan kadang-kadang membawanya sendiri. Sebaliknya jika ada permintaan supaya produk yang telah ditempah itu perlu diuruskannya sendiri, beliau akan menghantarnya menggunakan kenderaannya sendiri. Manakala jika produk kraf itu ukurannya agak kecil beliau akan usahakannya secara pos biasa ataupun pos laju. Manakala barangan kraf itu pula pada kebiasaannya siap dijual pada bulan Jun setiap tahun dengan perolehan pendapatan lebih kurang RM5,000.

Menyentuh tentang ekspo dan pameran yang berasaskan rotan ini, setiap kali mendapat info tentang ekspo terbabit, beliau tidak akan lepaskan peluang dan saat inilah beliau akan dianggap sibuk. Ekspo ini amat penting bagi Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sepertinya, kerana dengan menyertai pameran secara tidak langsung akan dapat mengiklankan produk yang dihasilkan. Misalnya di Kelantan, ekspo yang dianjurkan oleh kerajaan pusat pernah diikutinya di pusat kraftangan di Tunjung, Kota Bharu. Manakala sering kali beliau dikuti di Jalan Kolej, Kuala Lumpur, termasuklah pada 24 Februari, 2010. Bahkan ekspo yang dianjurkan pihak MARA pula kerap diadakan setiap tahun di Kuala Terengganu, namun pada tahun ini dimansuhkan.

"Soal bekalan rotan banyak diperolehi dari Jeli, Kelantan termasuklah dari negeri Kedah dan Negeri Sembilan. Sekiranya wujudnya masalah untuk mendapat bekalan dan jika mustahak sangat, Abang Din terpaksa berusaha untuk mencari di mana-mana tempat dalam usaha untuk mempercepatkan pengeluaran hasilnya.

"Kadang-kadang Abang Din tidak susah sangat sebab terdapat juga individu yang membekalkan rotan tersebut dan jika ada yang menjualnya, Abang Din sanggup membelinya. Apabila hal ini berlaku secara tidak langsung dapat menampung kekurangan di beberapa bahagian tertentu", katanya apabila ditanya tentang masalah jika berlakunya kekurangan bekalan rotan tersebut.

Katanya menambah, dalam masa sebulan, sekurang-kurangnya satu set meliputi 3,000 hingga 4,000 buah dapat disiapkan setiap seorang pekerja. Di antara produk kraf rotan yang dihasilkan seperti kuda mainan budak, buaian bayi, buaian orang dewasa, bekas lampu tidur, katil, kerusi goyang dewasa, penyangkut baju, raga dan cermin muka.

Harga produk kraf rotan yang ditawarkan di kedainya terutamanya kerusi berbentuk anyaman berharga di antara RM3,000 hingga RM4,000. Manakala bentuk kerangka pula berharga RM1,000. Kerusi biasa tanpa penyandar seperti kerusi jahir berharga RM50, penyangkut baju (RM180), buaian dewasa (RM200), bekas lampu tidur (RM600), katil bujang (RM950), kerusi goyang dewasa (RM280), cermin muka berukuran 6 kaki (RM280) dan cermin muka berukuran 2 kaki (RM50).

Menyentuh tentang produk kraf rotan berwarna katanya, beliau lebih senang menghasilkan produk tanpa warna kerana dianggap lebih cantik dan kelihatan asli. Walau bagaimanapun, jika permintaan daripada pelanggan yang memerlukan produk yang ditempah mereka memerlukan warna pilihan, beliau akan memenuhi permintaan itu. Cuma dengan menggunakan warna ini tidak boleh bertahan lama, mudah pudar dan luntur dalam masa yang singkat.

Apabila ditanya tentang mutu produk rotan yang dihasilkan berdasarkan pengalamannya selama 24 tahun itu, beliau menjelaskannya bahawa setakat ini belum pernah lagi pelanggan yang berurusan dan membeli produk di kedainya merungut atau membuat aduan tentang masalah yang timbul. Keadaan ini menunjukkan, mutu barangan kra beliau menepati kehendak pelanggan dari buatannya yang halus, standard dan telah diakui atau ditetapkan oleh pihak kerajaan. Malahan setahunya kebanyakan barangan kraf sebagaimana yang dihasilkannya kini tidak terdapat di negeri-negeri lain, sebab itulah beliau begitu teruja untuk memperkemaskan cara pembuatannya agar nampak lebih menarik.

Walaupun begitu, sekiranya barangan kraf yang telah dibeli oleh pelanggan mengalami sebarang masalah dan kerosakan, beliau akan membaikinya atau mengganti yang baru. Tetapi, sehingga hari ini produk beliau belum lagi dianggap mudah rosak, tetapi jika benar-benar berlaku beliau akan membaiki di tempat yang perlu atau menggantikannya dengan yang baru.

Justeru, beliau berharap jika ada mana-mana pihak yang ingin menempah produk kraf rotan dari kedainya, beliau menanti dengan hati dan tangan terbuka. Sementara itu, beliau amat menghargai peminat-peminat produk kraf rotan ini supaya memberikan sokongan kepada pengusaha sepertinya untuk mengelakkan produk kraf rotan yang dipelopori sejak turun-temurun itu tidak terus berkubur. Paling penting adalah seni untuk menghasilkan produk itulah sukar didapati hanya kepada peminatnya dan pengusaha yang hanya berkecimpung sahaja yang hanya jauhari kenal maknikam.

Untuk tempahan, beliau boleh dihubungi di talian:
012-9096379

   
Pengusaha MSB Enterprise, Mohd. Samsuddin Ali atau Abang Din.

Abang Din ketika ditemubual Wartawan RELATIF.

Rotan yang digunakan dari jenis bermutu tinggi.


Sebahagian kerusi yang telah dihasilkan.

Katil dari rotan.

Kuda-kuda, sejenis permainan kanak-kanak.

Buaian untuk kanak-kanak.



Peralatan yang digunakan untuk menghasilkan barangan kraf rotan.

Teks:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Ahad, 10 Ogos 2014

Perusahaan Kopi Warisan


PERUSAHAAN KOPI WARISAN


WAKAF BAHARU, KELANTAN:  Bagi penggemar minuman, produk serbuk kopi menjadi kegemaran ramai. Ada sesetengah penggemarnya yang menyatakan, tidak sah meminum air jika tidak dibancuh dengan kopi. Malah, ada juga yang menyatakan secara nakal, rokok dan kopi adalah rakan dan sahabat yang tidak dapat dipisahkan.

Membicarakan tentang produk serbuk kopi, di negara kita memang terkenal dengan produk sedemikian iaitu seiring dengan penggemarnya. Ada serbuk kopi diproses secara moden kerana dianggap cepat, hasil yang minimum dan menjimatkan masa. Namun, tidak kurang juga serbuk kopi dihasilkan secara tradisional. Paling menarik pula, perusahaan dan pengeluaran serbuk kopi itu dilakukan secara warisan keluarga dan pekerja-pekerjanya pula terdiri daripada ahli-ahli keluarga dan anak-anaknya sahaja.

Seorang Pengusaha Kopi Cap Anggur yang mengeluarkan produk serbuk kopi secara warisan keluarga yang sempat ditemui Wartawan RELATIF di kediamannya, Umi Kalsom binti Mahmood, 55, atau lebih dikenali sebagai Kak Som dari Kampung Alor Pasir, Wakaf Baharu, Kelantan berkata, produk kopi keluarannya itu adalah dari warisan bapanya yang mengusahakannya secara sendiri.

Katanya, produk serbuk kopi keluarannya itu telah mencapai 50 tahun yang diwarisi dari bapanya. Ketika itu, beliau berusia dalam lingkungan 6 tahun pernah melihat sendiri bagaimana serbuk kopi tradisional milik bapanya itu dihasilkan. Disebabkan hal itulah beliau memiliki kemahiran mengeluarkan serbuk kopi itu dan mengambil alih peranan itu dari arwah bapanya di mana serbuk kopi warisan bapanya itu diteruskan sehingga hari ini.

“Sebelum ini, kak menggunakan jenama “Parlimen” iaitu salah satu simbol negara. Jenama Parlimen amat dikenali ramai. Namun, disebabkan larangan penggunaan simbol parlimen itu, kak menukarnya kepada jenama “Anggur” sehingga hari ini”, ujarnya ketika ditemui di kediamannya.

Menurutnya, semenjak memperolehi ilmu menghasilkan produk kopi jenama Anggurnya itu dari arwah bapanya, beliau tidak pernah belajar atau memasuki kursus dari mana-mana individu atau agensi-agensi kerajaan serta swasta dalam usaha memantapkan lagi produk kopi keluarannya. Beliau memahirkan kepakaran mengeluarkan produk kopi itu berdasarkan ilmu yang dicurahkan oleh arwah bapanya dan dari apa yang pernah dilihatnya ketika hayat bapanya ketika itu sebagai kesinambungan dan warisan keluarganya.

Katanya, produk serbuk kopi jenama Anggurnya itu menggunakan nama suaminya, Abdullah bin Ismail. Malah bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan serbuk kopi keluarannya adalah amat ringkas sahaja iaitu kopi dan gula. Tidak sebagaimana pengeluar-pengeluar kopi lain yang turut menggunakan “beras” menggantikan kopi sebagai bahan dan resepi pembuatan kopi tersebut agar kelihatan pekat dan rasanya lebih lazat. Kopi tradisional warisan miliknya itu tidak menggunakan bahan-bahan itu dan tidak juga menggunakan bahan-bahan pengawet malah boleh diminum dalam keadaan segar dan lazat.

Apabila ditanya tentang cara membuat kopi warisan tradisional miliknya, beliau berkata, kopi perlu dimasak dengan cara menggorengnya di dalam kuali yang agak besar (dikenali kawah) menggunakan kayu sebagai bahan bakarnya. Penggunaan bahan bakar seumpama ini tentunya menjadikan pekerja-pekerjanya agak kepanasan kerana dibuat secara tradisional. Kira-kira dalam tempoh selama empat (4) jam masa yang digunakan supaya kopi-kopi itu masak dengan sempurna.

Malah katanya, sekurang-kurangnya 20 kilogram kopi perlu dimasak dalam tempoh selama empat jam itu dan pekerja-pekerjanya seramai empat orang perlu melakukannya secara giliran untuk memastikan kopi-kopi itu masak sepenuhnya.

Tambah Kak Som lagi, tenaga kerja yang dimaksudkan itu adalah terdiri dari anak-anaknya yang sentiasa diperlukan untuk memasak kopi-kopi itu. Penggunaan “kawah” (kuali besar) dan tenaga kerja seramai empat orang itu bukan berperanan untuk memasak kopi-kopi itu dan bahan-bahan lainnya, namun setelah kopi-kopi itu masak kawah itu perlu diangkat dari dapur kayu untuk dituangkan ke dalam satu bekas yang dikhaskan. Jika menggunakan seorang pekerja saja, tentunya tidak mampu melaksanakannya secara cepat apatah lagi dalam keadaan suasana panas dan kuali yang agak berat, ini tentunya mudah berasa letih.

“Tujuan kopi-kopi yang telah masak itu dituangkan ke dalam satu bekas khas adalah untuk proses menyejukkannya. Dengan cara yang demikian, kopi akan mudah sejuk dan senanglah untuk proses membungkusnya nanti”, katanya.

Kak Som menambah, walaupun kerja-kerja berkenaan dilakukan sekali sahaja dalam satu hari kerana caranya agak sukar apatah lagi pekerja-pekerja itu perlu mengangkat kuali besar yang agak berat. Selain kuali besar turut digunakan untuk menggoreng, sebuah lagi kuali kosong turut disediakan jika berlaku sesuatu yang tidak diingini terhadap kuali yang digunakannya sekarang.

 “Proses menggoreng kopi itu dilakukan sekali sahaja dalam sehari kerana kerja-kerjanya agak sukar malah terlalu berat. Sebab itulah memerlukan masa dan pekerja yang mencukupi.

“Itupun jika anak-anaknya berada bersama-sama dengan akak, jika tidak akak meneruskan proses produk kopi itu bersama suami sekali saja dalam seminggu”, ujar Kak Som.

Dalam konteks pembungkusannya pula katanya, disebabkan kopi warisan cap Anggurnya itu dibuat secara tradisional yang menggunakan tenaga kerja dari kalangan keluarganya iaitu anak-anaknya sahaja, pembungkusan produk kopinya itu juga dilakukan oleh anak-anaknya juga menggunakan peralatan pembungkusan secara tradisional.

Setelah kopi yang telah masak itu sejuk setelah dituangkan ke dalam satu bekas yang dikhaskan di sebelah tengah harinya, pada sebelah petangnya serbuk-serbuk kopi itu mula dibungkus. Katanya, kopi yang masih dalam keadaan panas tidak boleh dibungkus dengan segera kerana dibimbangkan mendatangkan masalah terhadap baunya kerana pastinya kepanasan kopi itu akan bertindak dengan plastik pembungkusnya.

Apabila ditanya tentang berat dan harga serbuk kopi cap Anggur keluarannya itu, serbuk kopinya itu disenaraikan dalam tiga kategori berat iaitu 70 gram (biasa), 150 gram dan 350 gram.

Serbuk kopi yang berat 70 gram (biasa) itu dijual dengan harga RM0-20 sen sebungkus. Harga-harga lain ialah RM1-50 dan RM5. Lazimnya kebanyakan peruncit, beliau membekalkan kopinya itu dalam tin.

Berhubung dengan sambutan pembeli terhadap kopi warisannya, setakat ini produk kopi keluarannya hanya berlegar di sekitar Kampung Alor Pasir itu saja selain di Wakaf Baharu dan Tumpat. Katanya, beliau masih belum bercadang untuk memasarkannya keluar dari tempatnya itu. Walaupun hanya berlegar di sekitar kampungnya sahaja, namun sambutan pembeli agak memberangsangkan selain ada yang datang dari Wakaf Baharu dan Tumpat yang datang sendiri ke rumahnya kerana harganya lebih murah.

“Tentang pasaran kopi akak ini, setakat akak tidak pernah mengiklankannya dalam mana-mana media sama ada akhbar, media sosial atau sebagainya.

“Produk kopi akak ini dikenali ramai melalui anak-anak dan dari mulut ke mulut orang ramai dan rakan-rakan akak dalam kampung ini yang pernah membeli darinya yang mendakwa kopi keluaran cap Anggur ini lazat diminum”, katanya.
 
Menyentuh tentang pengeluaran kopi tradisional yang dihasilkan oleh Kak Som, katanya usahanya itu memang agak terlalu sukar dan memenatkan kerana serba serbinya secara tradisi. Tetapi dengan adanya bantuan dari anak-anaknya, kerja yang sukar dan berat menjadi ringan malah mendatangkan keseronokan pula apatah lagi keluarannya adalah hasil usaha sendiri tanpa bergantung kepada orang lain.

Anak-anaknya yang seringkali melihat dan membantunya cara menghasilkan kopi seumpama itu, akhirnya ilmu itu dapat dicurahkan pula kepada anak-anaknya. Sekarang ini, anak-anaknya memang mahir melakukan pelbagai tugas yang diberikan malah kerana itu beliau tidak perlu memaklumkannya berulang kali.

Produk serbuk kopi cap Anggur ini menggunakan bahan-bahan asli dan halal tanpa bahan penambah dalam makanan (bahan aditif). Ini kerana, beliau ingin mengekalkan kopinya secara tradisional yang diwarisi dari kepakaran arwah bapanya yang bergiat cergas dalam perusahaan berkenaan secara jujur dan ikhlas, jadi biarlah konsep berkenaan dikekalkan sampai bila-bila.

Sementara itu, ditanya tentang pasaran yang lebih luas, beliau sememangnya agak berminat tentangnya. Hal ini pernah beberapa kali diutarakan oleh rakan-rakan dan jiran-jiran dari kampungnya supaya memasarkannya secara lebih meluas dan moden. Namun, disebabkan sumber kewangan yang terhad, pengeluaran secara tradisional itu adalah lebih baik lagi. Katanya, beliau tidak menolak, hasratnya itu akan diteruskan oleh generasi anak-anaknya pula yang sentiasa melihat produk itu agak mampu menyaingi kopi-kopi yang dibuat secara moden.

Kak Som boleh bernafas agak lega kerana ramai pelanggan yang menggemari kopi keluarannya. Tidak sia-sialah dengan pengorbanan arwah bapanya dicurahkan ilmu kepadanya untuk diteruskan warisan produk serbuk kopi berkenaan, beliau akan meneruskan kesinambungan dan warisan itu dari generasinya kepada anak-anaknya pula.

Justeru, walaupun pasarannya agak terhad, namun atas sokongan rakan-rakan, jiran-jiran sekampung dan penggemar-penggemar yang pernah merasai sendiri kopi warisan keluarannya, keenakan kopi warisan keluarannya itu dianggap tiada tandingannya apatah lagi dibuat dalam kaedah dan resipi serta adunan bahan-bahan yang asli menjadikan kopi cap Anggur sentiasa dalam perhatian pelanggan dan penggemar-penggemarnya. Apatah lagi, dengan adanya tolak ansur, sikap dan sifat jujur yang diwarisi juga dari keluarganya sebagai jalan terbaik perusahaan kopi jenama Anggurnya mendapat keberkatannya.

Beliau boleh dihubungi di talian: 09-7196095

Umi Kalsom binti Mahmood atau Kak Som.

Kak Som sedang ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.

Inilah contoh serbuk kopi cap Anggur dalam kuantiti 70 gram menggunakan nama suaminya, Abdullah bin Ismail.

Teks:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Jumaat, 1 Ogos 2014

Kolam Puteri Sa'adong


KOLAM PUTERI SA'ADONG

WAKAF BAHARU, KELANTAN: Terdapat beberapa buah kolam yang sering digunakan oleh Puteri Sa'adong ketika zaman remajanya sehingga Baginda menjadi Permaisuri Raja Abdullah yang pernah ditemui seperti kolam terbesar terletak di Kampung Pangkal Kalong, Ketereh, kolam di Jalan Panji dan terbaru yang ditemui di Kampung Kutan Hilir, Wakaf Baharu, Kelantan. Kolam ini terletak berhampiran dengan sebatang sungai yang sering digunakan oleh Baginda, pedagang-pedagang lain yang menyusurinya serta penduduk-penduduk kampung terbabit.

Seorang penduduk kampung terbabit, Wan Hanafi Wan Isa yang sempat ditemui Wartawan RELATIF berkata, kolam mandi tempat Puteri Sa'adong bersiram juga ada di kampungnya itu. Kolam yang dimaksudkan itu memang ternyata agak besar, tetapi kini telah didapati tertimbus berikutan kerja-kerja terhadap kawasan tanah terbabit.
"Jika dilihat, seolah-olah sebatang parit, namun disebabkan faktor tanah yang semakin turun menyebabkan kolam itu semakin sempit", katanya.

Katanya lagi, kolam itu telah ditemui oleh salah seorang penduduk kampungnya yang kini telah meninggal beberapa tahun lalu. Jika arwah tidak memaklumkan tentangnya, sudah tentu beliau sendiri tidak mengetahui tentang wujudnya kolam lama berusia lebih 200 tahun lalu di situ.

Menurut Wan Hanafi, pada masa dulu jalan darat masih tidak berfungsi tidak sebagaimana di zaman moden ini. Justeru, alternatif yang sering digunakan oleh penduduk-penduduk pada masa itu termasuk Puteri Sa'adong sendiri yang menggunakan laluan berkenaan. Maka sungai yang berhampiran dengan kolam itu adalah laluan alternatif yang lazim digunakan oleh Puteri Sa'adong.

"Mungkin juga wujudnya kolam seumpama itu berdekatan dengan sungai bagi memudahkan Baginda membersih dan mencuci diri dan sejak itu kolam itu begitu tersohor di situ", ujarnya.

Sambung Wan Hanafi lagi, pernah bahtera yang dinaiki Baginda dikenali "Jong Kapa Ulana" telah karam kerana bertembung dengan ombak dan air berpusar di kawasan muara sungai. Beliau membawa Wartawan RELATIF ke lokasi muara sungai yang dimaksudkan.
Apabila ditanya, mungkin wujudnya keturunan atau generasi Puteri Sa'adong di kampung itu selepas Baginda wafat, beliau menafikannya. Katanya, setakat yang beliau dapat tahu dari beberapa penduduk kampung, tidak mungkin ada generasi Baginda di kampung itu. Kehadiran Baginda menyusuri sungai itu atas kapasiti Baginda sebagai seorang raja dan pemerintah sahaja.

Wan Hanafi bin Wan Isa.

Wan Hanafi Wan Isa ditemubual oleh Wartawan RELATIF.


Wan Hanafi sedang menunjukkan kolam asal Puteri Sa'adong yang kini telah tertimbus.

Inilah sungai yang sering digunakan oleh pedagang termasuk bahtera Puteri Sa'adong.

Di sinilah muara sungai yang airnya deras menyebabkan bahtera Puteri Sa'adong karam.

Teks:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM